Sunday, January 18, 2009

Jualan komputer riba meningkat

Jualan komputer riba meningkat

KUALA LUMPUR 6 Jan - Dell Asia Pacific Sdn. Bhd. (Dell Malaysia) menjangka jualan bagi produk komputer riba akan melepasi komputer meja bagi tempoh 18 bulan akan datang.
Pengurus Besarnya, Pang Yee Beng berkata, jangkaan itu berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pengguna dan kadar permintaan yang tinggi daripada komputer riba.
''Ini kerana didorong oleh penurunan harga yang mendadak bagi komputer riba.
''Setakat ini, jualan komputer riba ialah sebanyak 40 peratus manakala bakinya daripada komputer meja," katanya selepas memberi taklimat kepada media mengenai pengkomputeran pada masa depan, di sini hari ini.
Hadir sama, Naib Presiden Asia Pasifik dan Jepun, Pemasaran Komersial Dell, Sam Burd.
Menurut Yee Beng, penggunaan komputer riba lebih produktif dan ia senang dibawa ke mana-mana kerana lebih kecil, ringan dan mesra pengguna.
''Sebelum ini, permintaan bagi komputer riba kurang kerana risiko kecurian yang tinggi tetapi dengan adanya perkhidmatan WiFi dan internet, keperluannya bertambah," ujarnya.
Tambahnya, segmen korporat dan kerajaan masih merupakan penyumbang utama kepada perolehan syarikat.
Beliau berkata, Dell akan mengembangkan perniagaan runcit di Asia berikutan unjuran daripada pertumbuhan
''Kami juga bercadang untuk meluaskan perniagaan korporat di Sabah dan Sarawak kerana melihat potensi di rantau itu.
''Dengan adanya perniagaan korporat di negeri-negeri itu, kami boleh berurusan dengan syarikat-syarikat di sana," jelasnya.
Ditanya mengenai sama ada senario ekonomi yang tidak menentu menjejaskan perniagaan mereka memandangkan Dell telah mengubah haluan menjual produk melalui vendor dan bukan secara langsung kepada pelanggan, Yee Beng berkata, ia tidak memberi impak.
''Kami akan memastikan keberkesanan kos menerusi jualan dan sebarang penjimatan kos akan dialihkan kepada pengguna atau pelanggan," katanya.

Kuasa PC kembali

Kuasa PC kembali

FUNGSI dan kelebihan dunia pengkomputeran mobiliti sememangnya tidak dapat disangkal lagi kerana ia membenarkan aktiviti komunikasi dilaksanakan di mana-mana sahaja.
Namun, kemajuan tersebut tidak bermakna kita melupakan aplikasi pada komputer peribadi (PC) yang merupakan peneraju dalam industri pembangunan komputer serta pernah mengalami zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu.
Sebenarnya, PC mempunyai kelebihannya tersendiri dalam mengaplikasikan pelbagai tugasan seperti di pejabat, sekolah, pusat pengajian tinggi, kafe siber dan di rumah sendiri.
Menyedari komputer jenis tersebut masih diterima pengguna, syarikat pengeluar komputer terkenal, NEC Computers Asia Pacific Sdn. Bhd. (NEC) baru-baru ini telah memperkenalkan komputer peribadi NEC Powermate All In One model P4000 dan P6000.
Memperbaharui siri NEC Powermate P3000 dan P5000 dari segi aplikasi dan peningkatan kuasa, model tersebut juga dilengkapi dengan sistem hiburan terbaik.
Dengan inovasi rekaan sentuhan Jepun, ia menawarkan konsep penjimatan ruang yang diintegrasikan bersama teknologi unik dan sofistikated mengikut trend semasa.

TM sedia pelbagai pakej perkhidmatan

TM sedia pelbagai pakej perkhidmatan

DENGAN segala hormatnya kami merujuk kepada artikel dalam Utusan Malaysia bertarikh 10 Disember 2008 bertajuk TM patut bantu penduduk miskin kuasai IT oleh Anak Penoreh Getah dari Kuala Berang, Terengganu dan pada 15 Disember 2008 bertajuk Sokong TM kaji kadar perkhidmatan Internet oleh Muzammil dari Nebraska, USA mengenai isu kadar langganan perkhidmatan akses Internet jalur lebar Streamyx yang dibekalkan oleh TM.
Pihak Telekom Malaysia Berhad (TM) ingin menjelaskan bahawa TM ada menawarkan pelbagai pelan perkhidmatan Streamyx bagi memenuhi pelbagai keperluan dan kadar kemampuan pengguna.
Antara pelan perkhidmatan yang ditawarkan adalah merangkumi pakej-pakej asas yang menawarkan pakej perkhidmatan Streamyx daripada kelajuan 384Kbps hingga 4.0Mbps dengan kadar serendah RM20 untuk penggunaan selama 10 jam untuk tempoh satu bulan sehingga RM268 untuk langganan pakej penggunaan tanpa had berkelajuan 4.0Mbps.
Bagi pengguna yang mahukan pakej merangkumi perkhidmatan telefon pula, bolehlah memilih untuk melanggan pakej Streamyx Combo yang menggabungkan dua perkhidmatan dalam satu pakej. Pelanggan hanya perlu membayar satu yuran langganan bulanan bagi menikmati perkhidmatan Internet dan talian tetap sekali gus tanpa perlu membayar sewa talian tetap secara berasingan. Ini menjadikannya satu-satunya pakej yang mudah dan mampu dimiliki oleh pelanggan.
Melalui inisiatif ini, kami berharap untuk menjadikan perkhidmatan jalur lebar lebih kos efektif dan mampu dimiliki oleh lebih ramai pengguna. Pelanggan akan memperoleh capaian Internet jalur lebar dengan kelajuan daripada 384Kbps sehingga 4.0Mbps tanpa perlu membayar caj sewa bulanan talian tetap dengan kadar langganan serendah RM60 untuk pakej 384Kbps sehingga RM160 untuk pakej berkelajuan 4.0Mbps.
Pakej ini diperkenalkan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan Internet dengan mengurangkan kos permulaannya supaya lebih ramai pengguna boleh menikmati faedah yang diperoleh melalui gaya hidup digital.
Pelanggan juga mempunyai pilihan untuk menambah Pelan Penggunaan atau Perkhidmatan Tambah Nilai yang lain yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.
Dalam usahanya menggalakkan penerapan akses jalur lebar di negara ini, TM juga telah memperkenalkan pakej Streamyx Kini Mobile yang menawarkan nilai tambahan dengan ciri-ciri mobiliti yang fleksibel menggunakan modem wayarles yang dibekalkan secara PERCUMA oleh TM untuk membolehkan pengguna mengakses Internet jalur lebar wayarles semasa berada di rumah dan mengakses Internet di mana sahaja semasa berada di luar rumah melalui perkhidmatan jalur lebar Internet wayarles (WiFi) yang paling stabil dan terluas di 1,200 lokasi Streamyx Zone di seluruh negara.
Pelanggan Streamyx boleh menikmati semua faedah pakej Streamyx Kini Mobile ini dengan kadar langganan tambahan serendah RM10 sebulan sahaja ke atas langganan pakej Streamyx Combo!
Menarik
Di samping itu, TM juga sentiasa menawarkan pelbagai pakej promosi yang menarik dari semasa ke semasa hasil kerjasama dengan beberapa rakan kongsi perniagaannya bagi menggalakkan lebih ramai pengguna berpeluang untuk melanggani pakej yang mampu dimiliki.
Sebagai contoh, TM telah memperkenalkan beberapa pakej yang digabungkan dengan perkakasan komputer serta kemudahan pelan pembayaran secara kredit untuk para pengguna yang tidak berkemampuan membeli komputer secara tunai.
TM juga telah berkolaborasi dengan pembekal perkakasan komputer dengan memperkenalkan pakej langganan perkhidmatan jalur lebar secara percuma untuk tempoh 24 bulan yang ditawarkan dengan pembelian perkakasan komputer untuk kemudahan pengguna.
Tambahan pula, para pelanggan yang ingin menikmati lebih penjimatan untuk membuat panggilan telefon juga boleh memilih pelan perkhidmatan yang ditawarkan oleh TM iaitu pakej Let's Talk merangkumi pakej Let's Talk 68 dan Let's Talk 108 yang juga turut menawarkan masa berbual percuma untuk para pelanggannya.
Maklumat lanjut mengenai tawaran pakej Streamyx boleh diperoleh melalui laman web Streamyx di www.streamyx.com.my.
TM ingin menegaskan bahawa syarikat sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang mampu dimiliki dan mudah didapati untuk seluruh golongan masyarakat selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan kadar penembusan jalur lebar kepada 50% pada tahun 2010.
KOMUNIKASI KORPORAT KUMPULAN TM

Saturday, January 17, 2009

RINGKASAN EKSEKUTIF

TOP FIVE CAFE n SITU STATION adalah syarikat milik penuh bumiputera yang telah ditubuhkan atas inisiatif dan kesungguhan untuk aktif dalam sektor perniagaan sesuai dengan saranan dan galakan kerajaan.Syarikat ini juga berhasrat untuk bergerak aktif bagi memenuhi permintaan pasaran serta kontrak kerja yang semakin terbuka luas di Malaysia.Sesungguhnya TOP FIVE CAFE n SITU STATION berkomitment penuh menjayakan hasrat kerajaan untuk menambah bilangan usahawan terutama generasi muda Bumiputera untuk bergiat aktif dalam sektor Penyelenggaraan dan Pembekalan.TOP FIVE CAFE n SITU STATION juga memiliki pengurusan serta berpengalaman untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan,membekal dan memasang peralatan komputer.Disamping itu juga,syarikat ini ingin memberi peluang masyarakat terutama kepada generasi muda tempatan untuk mempelajari dan mendalami ilmu siber bagi membangunkan sektor teknologi maklumat diNegara ini.