Monday, February 23, 2009

Tiada Kesedaran Punca Lambakan Komputer Lama

MEMANG menjadi sifat manusia, sentiasa inginkan barang baru untuk dilengkapkan tidak ketinggalan produk berasaskan komputer apalagi ia berubah mengikut perkembangan semasa dan gaya dunia. Apabila bercakap mengenai komputer, tidak ramai individu yang menghiraukan komponennya termasuk monitor dan unit pemprosesan pusat (CPU) apabila ia menjangkau usia tertentu menyebabkannya terus dibuang jika diganti dengan produk baru.Sebaik memiliki model baru, pengguna hanya mencampakkan komputer lama ke dalam tong sampah depan rumah atau mengumpulkannya dalam ruang simpanan barang tanpa memikirkan berpuluh-puluh komponen yang boleh dikitar semula. Kebanyakan rakyat Malaysia menukar komputer tiga hingga lima tahun. Jika terdapat satu komputer dalam satu keluarga seramai lima orang, jumlahnya ialah 5.4 juta! Bayangkan jumlah itu dilonggok begitu saja di tempat pembuangan sampah? ia pasti merugikan apatah lagi masih terdapat komponen yang boleh dikeluarkan untuk digunakan sebaik mungkin. Tambahan pula, pencemaran alam sekitar pasti berlaku kerana terdapat bahan toksik terkandung dalam komputer boleh meresap ke tanah sehingga mengganggu punca air yang diminum setiap hari jika tidak dikawal.Tiub aliran katod dalam monitor memiliki toksid mengandungi plumbum, raksa dan kadmium (logam seperti timah yang lembut dan berwarna perak). Di California, tiub diisytiharkan sebagai bahan berbahaya yang menjadikan pembuangannya menjadi lebih sukar kerana ia kini tidak lagi dibenarkan ditanam.Sikap malas menjadi punca utama mengapa komputer tidak dikitar semula apatah lagi ganjaran yang terhasil apabila menukarkan komputer lama tidak menguntungkan. Mentaliti seperti ini harus dikikis memandangkan sikap sebegini menyumbang sebahagian pembaziran bahan mentah yang menimbun setiap hari di pusat pelupusan sampah. Jika diperhati dengan teliti, bahan terkandung pasti menghasilkan banyak barangan terpakai atau baru yang mempunyai nilai sekurang-kurangnya mengurangkan pencemaran alam berleluasa kini. Contoh komponen yang boleh dikitar semula:* Plumbum pada tiub sinar katod dan pateri* Arsenik pada tiub sinar katod lama* Selenium pada papan litar sebagai pembekal tenaga* Perencat nyala polibrominan pada selongsong plastik, kabel dan papan litar* Stibium trioksida* Cadmium pada papan litar dan semikonduktor* Kromium pada keluli sebagai pencegah hakisan* Kobalt pada keluli bagi struktur dan kemagnetan dan raksa pada suis serta pembalutBahan seperti ini akan terbuang begitu saja malah mencemarkan alam sekitar dengan prosesnya menghasilkan sisa toksik berbahaya kepada nyawa manusia. Sesungguhnya bahan berbahaya daripada pembuangan komputer berlaku melalui penyerapan logam berat ke dalam air bawah tanah dan pengeluaran asap yang beracun ke udara.Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sejumlah 50 juta tan bahan komponen komputer dibuang setiap tahun. Ia satu jumlah yang menakutkan apatah lagi pencemaran mampu menyebabkan pelbagai penyakit seperti kanser jika tidak ditangani dengan bijak oleh manusia. Kajian juga menunjukkan sejumlah 300 juta PC bakal bertaburan menjadi bahan buangan menjelang 2010 akibat kekurangan ruang untuk melupuskan bahan pepejal itu. Usaha dilakukan bukan tertumpu kepada individu saja, organisasi besar harus mengambil langkah proaktif mengitar semula komputer pada kuantiti banyak.Enam tahun lalu, Hewlett Packard (HP) sendiri melaksanakan program kitar semula membabitkan produk PC dan elektronik lain yang mengandungi bahan kimia toksid di kilangnya, Roseville. Program kitar semula HP satu daripada usaha untuk mengatasi berjuta produk elektronik yang tersimpan di gudang atau stor disebabkan tidak dapat dibuang begitu saja tanpa mengikut prosedur ditetapkan.HP akan mengenal pasti PC yang masih boleh dipakai dan kemudian dibaiki untuk dijual semula manakala PC tidak boleh dibaiki akan diambil alat gantinya sebelum ia dimusnahkan sepenuhnya.Besi pada PC akan dihancurkan dan plastik dikecil termasuk debunya sekali akan dileburkan untuk menjadi tenaga. Setiap komponen PC akan dihantar ke bahagian yang dapat diguna semula bagi memastikan tiada yang akan ditanam.Sementara itu, syarikat swasta juga tidak ketinggalan mewujudkan peluang kepada orang ramai untuk mengitar semula PC atau laptop mereka bagi diguna pakai golongan yang inginkan harga murah. Antara syarikat bertanggungjawab mengitar semula PC dan komputer terpakai termasuk Apex Computer Services Sdn Bhd yang beroperasi sejak 2004. Pengarah Urusannya, Hafiz Hashemi Johaini, berkata syarikatnya mempunyai tanggungjawab sosial yang perlu dilakukan agar kempen kitar semula berjaya selain menyelamatkan alam sekitar daripada tercemar. “Produk komputer tidak seharusnya dibuang begitu saja, ia mampu diguna pakai untuk kegunaan orang yang memerlukan seperti golongan yang berpendapatan rendah,” katanya.Menurutnya, golongan seperti pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan ibu bapa yang kurang mampu membelikan PC untuk anak mereka boleh manfaat hasil daripada barangan yang dianggap tidak berguna itu. “Tak perlu buang. Apa salahnya jual saja untuk dikitar semula bagi manfaat lain, malah kita mampu mendapat hasil daripada komputer terpakai,” katanya.“Perniagaan saya dapat membantu usaha kerajaan menerusi program kitar semula. Daripada komputer lama dan rosak dibuang dan dilupuskan begitu saja, lebih baik dijual. Kami akan baiki dan jual semula dengan harga murah,” katanya.Katanya, komputer terpakai akan dibaik pulih dan jika ada komponen yang tidak boleh digunakan lagi akan dikitar semula untuk menjadi bahan berguna lain. Tambahnya, pihak swasta seperti sektor perbankan contoh terbaik organisasi yang melupuskan komputer lama secara sistematik. “Mereka (pihak bank) memberikan kerjasama baik dalam mengitar semula komputer terpakai. Kesedaran seperti itu perlu ditingkatkan,” kata Hafiz. Monitor yang tidak mahu digunakan lagi pula boleh dijadikan diskaun untuk mendapatkan model baru di kedai Apex di Gombak, Shah Alam, Kajang dan Melaka.“Kami menawarkan servis pelupusan, penjualan komputer serta laptop terpakai pada harga rendah dan membeli PC lama dengan harga berpatutan,” katanya yang juga mempunyai kilang pelupusan di Bukit Kemuning, Shah Alam.Baru-baru ini Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menimbang mewujudkan memberi insentif bagi mengatasi masalah sisa buangan elektronik atau e-waste melalui mekanisme yang dirangka. Timbalan Menterinya, Datuk S Sothinathan, berkata soal pemberian insentif dibincangkan pada mesyuarat kementerian tiga bulan lalu bagi mewujudkan kesedaran mengenai pentingnya mengatasi buangan elektronik yang memberi kesan buruk ke atas alam sekitar.Menurutnya, telefon bimbit dan bateri terpakai, peralatan komputer serta bahan lain adalah buangan terjadual yang jika tidak dilupus dengan sempurna boleh mencemarkan alam sekitar, terutama kepada tanah dan sistem air bawah tanah.Pada 2005, Alam Flora Sdn Bhd dengan kerjasama Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom) melaksanakan kempen kitar semula. Hasil sepanjang enam bulan itu menyaksikan sebanyak 1,424 barangan komputer yang terdiri daripada 443 monitor, 378 unit pemerosesan pusat (CPU), 555 pencetak dan 48 aksesori termasuk tetikus, papan kekunci dan cakera keras dikutip oleh 36 pusat kitar semula Alam Flora.Kelebihan kitar semula komputer lama mampu mendatangkan hasil walaupun tidak lumayan, sekurang-kurangnya ia dapat membantu golongan lain lebih memerlukan. Adakah kita mahu planet dan bumi Malaysia tercemar hanya kerana sikap tidak mengambil berat dan tak kisah terus menjadi musuh yang menyebabkan kehancuran diri kita sendiri?

Sunday, February 1, 2009

Bila komputer riba ganti buku teks.

Pada 12 Januari lalu, Bernama Online melaporkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom sebagai berkata Kementerian Pelajaran akan mengkaji terlebih dahulu keberkesanan pelaksanaan program e-Buku (e-Book) yang dilancarkan di Terengganu, pada hari berkenaan, sebelum diperluas dalam sistem pendidikan negara. Mengikut laporan itu, Terengganu menjadi negeri perintis program e-Buku yang menyediakan komputer riba kepada pelajar bagi menggantikan buku sekolah.Ada beberapa fakta dalam laporan berita itu yang menarik perhatian saya:



1. Datuk Alimuddin berkata, projek itu satu perkembangan baik untuk kemajuan pendidikan yang bakal melonjakkan lagi pencapaian Terengganu dalam bidang pendidikan. Maknanya, dengan penggunaan e-Buku, pencapaian pendidikan di Terengganu akan melonjak.

2. Bagaimanapun beliau difahamkan ia agak mahal. Jadi, Kementerian Pelajaran akan melihat dahulu bagus atau tidaknya penggunaan e-Buku ini. Jika bagus, kata Datuk Alimuddin, kementerian akan mempertimbangkan penggunaannya untuk masa depan.

3. Datuk Alimuddin juga berkata, keberkesanan projek itu hanya dapat dilihat dalam tempoh dua tiga bulan sebaik ia mula digunakan oleh murid darjah lima di Terengganu Mei ini. Maknanya, dalam tempoh dua tiga bulan saja sudah dapat dilihat lonjakan hasil penggunaan projek itu.

4. Kementerian juga, kata Datuk Alimuddin, turut melihat projek e-Buku sebagai alternatif bagi mengatasi masalah beg sekolah berat yang dihadapi murid-murid.

5. Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, pula berkata kilang pemasangan komputer riba itu yang bernilai RM8.5 juta di kawasan Perindustrian Gong Badak dekat sini dijangka siap Mac ini. Bagaimanapun laporan itu tidak menyebutkan kilang itu milik dan diusahakan oleh siapa.

6. Beliau juga berkata, seramai 23,000 hingga 25,000 murid tahun lima akan mula menerima komputer mulai Mei secara berperingkat-peringkat sebelum diperluaskan kepada murid darjah enam, empat, tiga, dua dan satu. Pelajar sekolah menengah di negeri itu diberitahu akan menerimanya pada fasa kedua.

7. Datuk Ahmad juga berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM30 juta setahun bagi projek itu. "Setiap komputer yang dibekalkan berharga kira-kira RM1,300 dan kita akan pastikan setiap murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah menerima e-Buku sebelum mengedarkannya ke negeri lain," katanya. Datuk Ahmad berkata beberapa buah negeri telah menunjukkan minat untuk melaksanakan e-Buku dan membeli komputer dari Terengganu.Saya percaya ramai ibu bapa tidak menentang penggunaan e-buku, komputer peribadi (PC) ataupun komputer riba di sekolah sama ada untuk tujuan pengurusan mahupun pengajaran dan pembelajaran. Malah kita mengalu-alukan penubuhan makmal komputer di sekolah untuk mengajar anak-anak kita menggunakan alat dan teknologi berkenaan. Ia sesuai dengan kata-kata Saidina Umar supaya kita mengajar anak-anak kita sesuai dengan zaman mereka.Bagaimanapun, apabila komputer riba hendak diberikan kepada setiap pelajar bagi menggantikan buku sekolah, saya ada sedikit 'reservation'.

Ada beberapa persoalan yang bermain dalam fikiran saya:

1. Benarkah penggunaan komputer riba atau dalam konteks lebih luas, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), boleh membantu melonjakkan pencapaian pelajar? Maknanya, pelajar yang tidak pernah mendapat Gred A sebelum ini, tetapi dengan penggunaan ICT, boleh mendapat Gred A bagi semua subjek atau jika tidak pun, banyaklah subjek yang mendapat Gred A. Adakah begitu?Seorang bekas pegawai tinggi di Kementerian Pelajaran pernah berkata kepada saya bahawa penggunaan ICT memang terbukti berjaya meningkatkan kecekapan pengurusan seperti dalam pembayaran gaji kerana kerja yang selama ini dibuat oleh lima enam orang, dengan kemudahan ICT, boleh dikendalikan oleh seorang saja. Tetapi, katanya, belum ada kajian menunjukkan penggunaan ICT boleh meningkatkan atau melonjakkan pencapaian akademik pelajar. Maknanya, belum ada testimoni menunjukkan dengan penggunaan komputer atau ICT, pelajar tercorot melonjak pencapaiannya!

2. Komputer riba itu dilaporkan berharga kira-kira RM1,300 sebuah. Dengan peruntukan RM30 juta setahun, bermakna seramai 23,077 pelajar di Terengganu akan menerima komputer riba setiap tahun. Terengganu mungkin tidak menghadapi masalah menyediakan peruntukan itu kerana ada banyak duit, terutama royalti minyak. Tetapi bagaimana negeri lain yang dikatakan berminat untuk mengikut jejak Terengganu itu? Jika Kementerian Pelajaran hendak meniru projek itu, kita perlu ingat ketika ini kita ada kira-kira lima juta pelajar di seluruh negara. Maknanya, kita memerlukan RM8.5 bilion untuk tujuan itu saja. Atau kita mulakan dengan murid tahun satu saja. Jika setiap tahun 420,000 murid masuk tahun satu (ambil statistik tahun ini), kementerian perlukan RM546 juta setahun itu. (Tahun ini kementerian itu dilaporkan membelanjakan RM180 juta untuk Skim Pinjaman Buku Teks).

3. Jika komputer riba yang diberikan kepada pelajar itu rosak, siapa akan menanggung kos penyengaraannya? Kerajaan negeri, Kementerian Pelajaran atau pelajar dan ibu bapa sendiri? Laporan Bernama tidak menyatakan sama ada peruntukan RM30 juta setahun yang disediakan Kerajaan Terengganu itu meliputi kos penyenggaraan. Jika kementerian laksanakan program itu, sanggupkah kementerian memikulnya? Kita ada 5 juta pelajar!Saya ragu-ragu jika ibu bapa pelajar sendiri yang perlu menanggungnya. Mungkin ramai yang tidak kisah kerana komputer riba pun dah percuma. Cuma kita lihat, dalam keadaan sekarang, walaupun buku teks percuma diberikan kepada semua pelajar, yuran khas RM4.50 seorang (di sekolah) dan RM9.50 seorang (di sekolah) dah dimansuhkan, nak bayar yuran tambahan sebanyak RM20, RM30 atau RM50 setahun bagi satu keluarga kepada PIBG pun ada riuh rendah satu negara. Ada pengetua kata, termasuk yang buat riuh rendah tu, pegawai pendidikan sendiri! Jadi, bagaimanalah agaknya jika ibu bapa macam tu kena keluarkan duit kocek sendiri untuk penyenggaraan komputer riba itu?

4. Benarkah keberkesanan projek itu dapat dilihat dalam tempoh dua tiga bulan? Keberkesanan dari segi apa? Dari segi kemahiran pelajar menggunakan komputer riba itu sewaktu pembelajaran atau dari segi lonjakan pencapaian pelajar dalam pelajaran? Kalau yang pertama mungkin, tetapi yang kedua, saya tak pasti!Saya dapati kita di Malaysia terkenal dengan projek perintis yang pantas ini. KBSR misalnya, dicuba setahun, kemudian tahun berikutnya, terus dilaksanakan di seluruh negara. Begitu juga apabila subjek Sains diperkenalkan semula di sekolah rendah menggantikan Alam dan Manusia, selepas setahun dibuat projek rintis di beberapa sekolah, tahun berikutnya terus dilaksanakan di seluruh negara. PPSMI (pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris) lagi hebat, tanpa sebarang projek perintis, terus dilaksanakan di seluruh negara.

5. Bolehkah ia menyelesaikan masalah beg berat? Rupa-rupanya isu ini masih belum selesai sejak ia hangat diperkatakan dan dilaporkan dalam media massa pada zaman Tan Sri Sulaiman Daud menjadi menteri pendidikan kali kedua. Isu yang sama juga timbul zaman Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Musa Mohamed memegang portfolio yang sama. Ya, mungkin menggantikan buku teks tetapi untuk atasi masalah beg berat, saya rasa bergantung kepada berapa berat komputer riba yang nak dipikul oleh pelajar nanti, terutama murid tahun satu! Saya bimbang masalah beg berat tak selesai, timbul masalah lain pula. Maklumlah, alat elektronik – sensitif. Silap pikul, jatuh beg atas jalan, dibuatnya tak boleh berfungsi, dah timbul masalah lain pula. Nak baiki, siapa nak tanggung kosnya? Atau boleh dapat ganti yang baru? Sekarang, jika buku teks rosak atau hilang, ibu bapa kena bayar. Jika komputer komputer riba tu rosak atau hilang, macam mana?

6. Benarkah program e-Buku ini untuk melonjakkan kecemerlangan akademik dan mengatasi masalah beg berat, atau ada agenda lain? Sekarang ini pun ada banyak makmal komputer yang dibina dan dibuka di sekolah yang tak dapat berfungsi dan dimanfaatkan sepenuhnya. Begitu juga dengan komputer peribadi dan LCD projector yang dibekalkan kepada guru, berapa ramai yang menggunakannya sewaktu pengajaran? Bagaimana pula dengan LCD projector yang dipasang dalam kelas, tak memadaikah untuk pengajaran?Saya rasa soal lonjakan pendidikan, tidak ada kaitan dengan penggunaan buku teks atau tidak. Yang pentingnya bagaimana kita mendorong anak-anak kita tekun belajar. Adakah ibu bapa sendiri jelas tujuan mereka menghantar anak-anak ke sekolah? Dan adakah mereka juga memastikan anak-anak mereka jelas tujuan itu? Adakah sekolah dan guru-guru menjadi faktor yang berjaya menarik pelajar untuk datang ke sekolah setiap hari dan pendorong untuk pelajar tekun belajar?