Saturday, July 11, 2009

Hentikan projek Penang Free WiFi - CAP

PULAU PINANG . - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri menghentikan projek Penang Free WiFi kerana dipercayai berpotensi tinggi untuk mengancam kesihatan orang awam.Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, memandangkan projek itu akan menghasilkan kabus WiFi meliputi seluruh negeri, maka tidak ada penduduk di Pulau Pinang yang akan terlepas daripada kesan negatifnya.''Projek ini juga akan menyaksikan peningkatan menara telekomunikasi WiFi sedangkan menara yang sedia ada sudah pun menimbulkan pelbagai masalah kesihatan kepada penduduk berhampiran.''Malah teknologi WiFi akan berfungsi hampir menyamai penggunaan telefon bimbit yang beroperasi di bawah spektrum gelombang antara 900 Mhz dan 2.4Ghz," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.Baru-baru ini, Ketua Menteri, Lim Guan Eng melancarkan Penang Free WiFi bagi memberikan perkhidmatan tanpa wayar percuma kepada penduduk di Pulau Pinang.S.M. Mohamed berkata, pakar genetik biofizik terkenal, Dr. Mae Wan Ho sebelum ini pernah menyatakan bahawa kesan kesihatan akibat gelombang tanpa wayar hampir menyamai dan hampir teruk seperti merokok.''Terdapat bukti yang menunjukkan orang ramai menderita akibat simptom kemurungan apabila terdedah kepada radiasi elektro magnetik dan keadaan itu dikenali sebagai elektro sensitif," katanya.Selain itu, S.M. Mohamed berkata, Pengerusi Program Penyelidikan Kesihatan Telekomunikasi Telefon Bimbit Britain, Profesor Lawrie Challis juga telah memberi amaran bahawa kesan WiFi ke atas kanak-kanak juga perlu dipantau dengan serius.''Tidak seperti merokok, pendedahan kepada gelombang yang menghasilkan radiasi elektromagnet adalah sukar untuk dielakkan sekiranya WiFi meliputi seluruh Pulau Pinang," katanya.S.M. Mohamed turut memberi contoh langkah yang diambil kerajaan tempatan Salzburg, Austria yang telah memberikan amaran kepada pihak sekolah untuk tidak memasang WiFi manakala di Britain pula kebanyakan sekolahnya telah menghentikan talian berkenaan.''WiFi di Universiti LakeHead di Ontorio, Kanada juga telah dialihkan kerana Naib Canselornya mahukan bukti yang kukuh menunjukkan teknologi tersebut selamat," ujarnya.Justeru dalam hal ini, katanya, CAP mencadangkan supaya projek tersebut dihentikan sehingga kerajaan negeri boleh membuktikan perkhidmatan itu selamat digunakan.