Wednesday, August 25, 2010

Internet tingkat ekonomi wanita

Oleh Salmiah A Hamid
2010/08/25

MASYARAKAT meng­iktiraf dunia hari ini tanpa sempadan apabila di antara negara tidak mengira jarak kini mampu dihubungkan hanya menerusi satu talian.
PILIHAN WANITA...antara laman web yang menjual pakaian dan beg berjenama.

Satu ketika dulu, nenek moyang kita pernah menggunakan burung merpati sebagai perantara berita dan keadaan mula berubah apabila khidmat posmen diperkenalkan sebagai penghantar surat serta barangan hingga ke luar negara. Teknologi mengubah segalanya apabila maklumat mampu disebar dengan cepat dan menyeluruh. Internet adalah jawapannya dan ia berkembang di serata dunia serta disambut dengan penuh kewajaran kerana ia kian dilihat sebagai satu keperluan.

Penggunanya pula tidak terhad kepada usia atau status. Malah, suri rumah tangga juga bebas melayari Internet di rumah. Bermakna, maklumat yang ingin dicari dan dikongsi tidak terhad kepada pekerja, pelajar atau pengurus teknologi maklumat, tetapi ia terbuka kepada sesiapa saja yang mempunyai capaian ke Internet.

Kaji selidik yang dijalankan Starcom Media Vest Group dan Microsoft Advertising mendedahkan tabiat kaum ibu di lapan negara Asia iaitu India, Hong Kong, China, Korea Selatan, Taiwan, Jepun, Malaysia dan Singapura yang mana Malaysia berada di kedudukan pertama diikuti Singapura.

Walaupun tujuan sebenar kajian yang berjudul ‘The Secret Online Lives of Asian Moms Uncovered’ adalah untuk membantu pengiklan mengenali lebih dekat struktur demografi, namun ia turut merungkai aktiviti sosial atas talian kaum ibu.

Benarkah golongan ibu di Malaysia aktif di Internet? Mungkin benar kerana berdasarkan kajian terbabit hampir 53 peratus kalangan ibu menghabiskan masa antara 39.8 dan 42.4 jam seminggu untuk melayari Internet. Tidak hairanlah sekiranya ibu hari ini lebih moden dan bermaklumat berbanding sebelum wujudnya teknologi.

Pelbagai jaringan Internet di Malaysia sama ada 3G, WAP, Wifi atau GPRS berjaya mewujudkan sekurang-kurangnya 16 aktiviti atas talian di negara kita. E-mel berada di tangga teratas dengan 97 peratus diikuti enjin pencarian sebanyak 87 peratus, pencarian maklumat mengenai produk dan perkhidmatan mencakupi 83 peratus manakala pesanan segera dan laman sosial masing-masing mencatatkan sebanyak 76 peratus.

“Ramai wanita hari ini mempunyai tahap kerja profesional yang tidak mengekang aktiviti mereka untuk bersosial di atas talian, namun ia bergantung kepada bentuk kerja wanita terbabit,” kata Tham Mei Ling, 32, yang bertugas sebagai pengurus perhubu­ngan dan komunikasi kepada syarikat mudah alih terkenal di Malaysia. Menurutnya: “Wanita yang bertugas di pejabat lebih banyak menggunakan komputer berbanding wanita yang bekerja di bahagian pengeluaran dan peruncitan. Walaupun begitu, amalan bersosial atas talian tidak mengehadkan wanita berdasarkan kepada pekerjaan semata.

“Capaian kepada Internet juga semakin mudah dengan pelbagai keluaran baru setiap masa. Syarikat pengeluar pula sentiasa bersaing dengan menghasilkan yang terbaik kepada pengguna. Lambakan netbook, notebook, komputer desktop dan terkini PDA dan iPad memudahkan pengguna untuk sentiasa melayari Internet tanpa mengira waktu dan tempat.” Menurut Mei Ling, syarikat komunikasi lumrahnya bersa-ing untuk meluaskan liputan di seluruh negara namun kedatangan Internet umpama hujan emas apabila syarikat terbabit mula memberi tumpuan dalam meluaskan isyarat Internet sama ada 3G, WiFi serta jalur lebar. “Faktor kepelbagaian bentuk Internet turut memberi impak kepada semua golongan untuk memilih keupayaan dan kemudahan yang bersesuaian dengan gaya hidup masa kini. Wanita yang bekerja di pejabat lebih senang melayari Internet di tempat kerja berbanding wanita yang sentiasa mempunyai tugasan luar daerah memerlukan Internet seperti WiFi. Manakala wanita tidak bekerja pula pastinya melanggan Internet yang bersesuaian untuk pakej di rumah.

“Walaupun wanita terbabit hanya sebagai suri rumah, tetapi bijak menggunakan masa dengan memperkenal­kan pelbagai bentuk perniagaan di atas talian seperti menjual pakaian, aksesori dan makanan. “Generasi hari ini lebih bijak kerana menggunakan Internet sebagai peluang untuk mengembangkan perniagaan yang dirasakan sesuai diusahakan atas talian. “Bagi mewujudkan suasana mesra dalam perniagaan, peniaga wanita akan sentiasa memberi tindak balas menerusi laman webnya untuk mewujudkan interaksi sosial yang baik dengan pelanggan, melihat senarai tempahan serta mendapatkan komen pelanggan mengenai bara­ngan dan perkhidmatan yang disediakan. Tidak hairanlah mengapa wanita hari ini lebih banyak memberi tumpuan kepada penggunaan Internet,” katanya.

Ditanya mengenai aktiviti sosialnya, Mei Ling berkata: “Saya mempunyai ramai kawan di dalam bidang yang sama, oleh itu saya akan pastikan sebarang maklumat sentiasa dikemas kini di laman web atau Facebook. “Ia melengkapkan saya dengan pelbagai maklumat terkini dan secara tidak langsung turut meningkatkan pencapaian kerja.

“Saya juga gemar menghantar kad ucapan atas talian seperti di www.greetingcard.org atau www.123greetings.com kepada rakan dan kenalan untuk meraikan pelbagai perayaan serta hari istimewa mereka. Mudah, cepat dan rekaannya kita boleh lakukan sendiri,” katanya.

Mei Ling beranggapan aspek kekeluargaan tidak mengekang generasi muda kini yang berpengetahuan dan berkelulusan universiti untuk mendapatkan pelbagai maklumat di atas talian walaupun wanita terbabit memilih untuk tidak bekerja bagi memberi perhatian yang penuh kepada keluarga.

Tidak hairanlah mengapa wanita di Malaysia yang bergelar ibu giat melayari Internet kerana ingin mempersiapkan diri mereka dengan pelbagai maklumat masa kini. Namun begitu, aktiviti sosial atas talian oleh remaja perempuan dan wanita hari ini tidak harus diberi persepsi negatif semata-mata kerana masih banyak lagi kelebihan yang perlu dicungkil serta dimanfaatkan menerusi penggunaan Internet.