Monday, October 12, 2009

Langkah Awal Jadi Usahawan IT di Unitar

Langkah Awal Jadi Usahawan IT di Unitar


Mereka yang berminat untuk menjadi usahawan dalam sektor teknologi maklumat (IT) kini berpeluang mengikuti pengajian dalam jurusan tersebut di Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) bermula tahun depan.

Ini kerana, UNITAR telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kolej Babson dari Amerika Syarikat yang mempunyai ranking nombor satu dalam bidang keusahawanan dan SKALI Group yang mahir dalam bidang keusahawanan IT.

Ketua Kolej Babson, Dr. Patricia G. Green berkata, dalam kerjasama jangka masa pendek, pihaknya akan mengendalikan bengkel pendidikan keusahawanan khusus untuk pegawai UNITAR.

“Dalam konteks itu, Babson akan membimbing UNITAR selama 3 tahun untuk memantapkan pembangunan kurikulum pendidikan keusahawanan,” katanya yang hadir ke majlis pelancaran Fakulti Keusahawanan Bank Rakyat di Hotel Marriott di sini semalam.

Bank Rakyat adalah penyumbang dana untuk menjayakan kurikulum tersebut.

Pengerusi Bank Rakyat, Prof. Emiratus Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim telah bersetuju memberi sumbangan RM 30 juta kepada UNITAR untuk dana endowmen bagi menubuhkan Fakulti Keusahawanan Bank Rakyat.

Dalam majlis yang sama, SKALI Group yang turut menjalin kerjasama dari segi melahirkan usahawan dalam sektor IT dan bersetuju memberi latihan keusahawanan kepada bakal usahawan dengan menggunakan kaedah pendidikan Kolej Babson.