Saturday, October 9, 2010

Otak manusia gerakkan PC

MASA depan perkomputeran kini lebih kepada pembantu peribadi berbanding komputer tradisional dipacu perkakasan yang memenuhi keperluan individu, menasihatkan serta memberi arahan sepanjang hari anda.
Pangarah Makmal dan Ketua Pegawai Teknologi Intel, Justin Rattner, memaklumkan, perkakasan berasaskan 'konteks-sedar' yang membantu kehidupan seharian.
"Perkomputeran konteks-sedar ialah kombinasi antara pengesan perkakasan dan perisian yang membuka peluang baru kepada pembangun untuk mencipta produk generasi masa depan berasaskan platform Intel," katanya.
Menurut Rattner, perkomputeran konteks-sedar berbeza dengan asas aplikasi berasaskan pengesan yang ada sekarang.
"Contohnya, koordinat GPS dan kompas tidak memberitahu telefon pintar maklumat sebenar berkaitan kita.
"Manakala perkomputeran konteks-sedar menggabungkan pengesan maklumat padat seperti di mana kamu tidur dan cuaca di persekitaran yang digabungkan dengan pengesan biasa seperti kalendar atau rangkaian sosial," katanya.
Menurutnya, masa depan perkakasan bergantung kepada kepintaran menilai kehidupan manusia seterusnya memberi keputusan tepat untuk menguruskannya.
"Bayangkan PC menasihatkan anda untuk keluar rumah 10 minit lebih awal berbanding hari sebelumnya selepas menilai keadaan trafik pada hari terbabit? Itulah keadaan perkomputeran konteks-sedar yang menjana manusia pada masa depan," katanya ketika Forum Pembangun Intel 2010 di San Francisco, baru-baru ini.
Beliau berkata, makmalnya kini berusaha keras untuk merealisasikan teknologi masa depan perkomputeran konteks-sedar dengan kerjasama agensi lain yang menjurus ke arah pembangunan inovasi dalam tempoh terdekat.
"Kami kini dalam perancangan membangunkan antaramuka komputer berasaskan otak manusia yang membolehkan manusia menggunakan minda mereka untuk memberi arahan kepada komputer dan perkakasan mudah alih pada masa akan datang," katanya.
Bagi tujuan terbabit, Intel bekerjasama dengan Universiti Carnegie Mellon dan Universiti Pittsburgh untuk penyelidikan aktiviti neural manusia yang mempengaruhi pemikiran kognitif mereka dalam tindak balas.

Sumber dari Harian Metro.