Monday, February 23, 2009

Tiada Kesedaran Punca Lambakan Komputer Lama

MEMANG menjadi sifat manusia, sentiasa inginkan barang baru untuk dilengkapkan tidak ketinggalan produk berasaskan komputer apalagi ia berubah mengikut perkembangan semasa dan gaya dunia. Apabila bercakap mengenai komputer, tidak ramai individu yang menghiraukan komponennya termasuk monitor dan unit pemprosesan pusat (CPU) apabila ia menjangkau usia tertentu menyebabkannya terus dibuang jika diganti dengan produk baru.Sebaik memiliki model baru, pengguna hanya mencampakkan komputer lama ke dalam tong sampah depan rumah atau mengumpulkannya dalam ruang simpanan barang tanpa memikirkan berpuluh-puluh komponen yang boleh dikitar semula. Kebanyakan rakyat Malaysia menukar komputer tiga hingga lima tahun. Jika terdapat satu komputer dalam satu keluarga seramai lima orang, jumlahnya ialah 5.4 juta! Bayangkan jumlah itu dilonggok begitu saja di tempat pembuangan sampah? ia pasti merugikan apatah lagi masih terdapat komponen yang boleh dikeluarkan untuk digunakan sebaik mungkin. Tambahan pula, pencemaran alam sekitar pasti berlaku kerana terdapat bahan toksik terkandung dalam komputer boleh meresap ke tanah sehingga mengganggu punca air yang diminum setiap hari jika tidak dikawal.Tiub aliran katod dalam monitor memiliki toksid mengandungi plumbum, raksa dan kadmium (logam seperti timah yang lembut dan berwarna perak). Di California, tiub diisytiharkan sebagai bahan berbahaya yang menjadikan pembuangannya menjadi lebih sukar kerana ia kini tidak lagi dibenarkan ditanam.Sikap malas menjadi punca utama mengapa komputer tidak dikitar semula apatah lagi ganjaran yang terhasil apabila menukarkan komputer lama tidak menguntungkan. Mentaliti seperti ini harus dikikis memandangkan sikap sebegini menyumbang sebahagian pembaziran bahan mentah yang menimbun setiap hari di pusat pelupusan sampah. Jika diperhati dengan teliti, bahan terkandung pasti menghasilkan banyak barangan terpakai atau baru yang mempunyai nilai sekurang-kurangnya mengurangkan pencemaran alam berleluasa kini. Contoh komponen yang boleh dikitar semula:* Plumbum pada tiub sinar katod dan pateri* Arsenik pada tiub sinar katod lama* Selenium pada papan litar sebagai pembekal tenaga* Perencat nyala polibrominan pada selongsong plastik, kabel dan papan litar* Stibium trioksida* Cadmium pada papan litar dan semikonduktor* Kromium pada keluli sebagai pencegah hakisan* Kobalt pada keluli bagi struktur dan kemagnetan dan raksa pada suis serta pembalutBahan seperti ini akan terbuang begitu saja malah mencemarkan alam sekitar dengan prosesnya menghasilkan sisa toksik berbahaya kepada nyawa manusia. Sesungguhnya bahan berbahaya daripada pembuangan komputer berlaku melalui penyerapan logam berat ke dalam air bawah tanah dan pengeluaran asap yang beracun ke udara.Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sejumlah 50 juta tan bahan komponen komputer dibuang setiap tahun. Ia satu jumlah yang menakutkan apatah lagi pencemaran mampu menyebabkan pelbagai penyakit seperti kanser jika tidak ditangani dengan bijak oleh manusia. Kajian juga menunjukkan sejumlah 300 juta PC bakal bertaburan menjadi bahan buangan menjelang 2010 akibat kekurangan ruang untuk melupuskan bahan pepejal itu. Usaha dilakukan bukan tertumpu kepada individu saja, organisasi besar harus mengambil langkah proaktif mengitar semula komputer pada kuantiti banyak.Enam tahun lalu, Hewlett Packard (HP) sendiri melaksanakan program kitar semula membabitkan produk PC dan elektronik lain yang mengandungi bahan kimia toksid di kilangnya, Roseville. Program kitar semula HP satu daripada usaha untuk mengatasi berjuta produk elektronik yang tersimpan di gudang atau stor disebabkan tidak dapat dibuang begitu saja tanpa mengikut prosedur ditetapkan.HP akan mengenal pasti PC yang masih boleh dipakai dan kemudian dibaiki untuk dijual semula manakala PC tidak boleh dibaiki akan diambil alat gantinya sebelum ia dimusnahkan sepenuhnya.Besi pada PC akan dihancurkan dan plastik dikecil termasuk debunya sekali akan dileburkan untuk menjadi tenaga. Setiap komponen PC akan dihantar ke bahagian yang dapat diguna semula bagi memastikan tiada yang akan ditanam.Sementara itu, syarikat swasta juga tidak ketinggalan mewujudkan peluang kepada orang ramai untuk mengitar semula PC atau laptop mereka bagi diguna pakai golongan yang inginkan harga murah. Antara syarikat bertanggungjawab mengitar semula PC dan komputer terpakai termasuk Apex Computer Services Sdn Bhd yang beroperasi sejak 2004. Pengarah Urusannya, Hafiz Hashemi Johaini, berkata syarikatnya mempunyai tanggungjawab sosial yang perlu dilakukan agar kempen kitar semula berjaya selain menyelamatkan alam sekitar daripada tercemar. “Produk komputer tidak seharusnya dibuang begitu saja, ia mampu diguna pakai untuk kegunaan orang yang memerlukan seperti golongan yang berpendapatan rendah,” katanya.Menurutnya, golongan seperti pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan ibu bapa yang kurang mampu membelikan PC untuk anak mereka boleh manfaat hasil daripada barangan yang dianggap tidak berguna itu. “Tak perlu buang. Apa salahnya jual saja untuk dikitar semula bagi manfaat lain, malah kita mampu mendapat hasil daripada komputer terpakai,” katanya.“Perniagaan saya dapat membantu usaha kerajaan menerusi program kitar semula. Daripada komputer lama dan rosak dibuang dan dilupuskan begitu saja, lebih baik dijual. Kami akan baiki dan jual semula dengan harga murah,” katanya.Katanya, komputer terpakai akan dibaik pulih dan jika ada komponen yang tidak boleh digunakan lagi akan dikitar semula untuk menjadi bahan berguna lain. Tambahnya, pihak swasta seperti sektor perbankan contoh terbaik organisasi yang melupuskan komputer lama secara sistematik. “Mereka (pihak bank) memberikan kerjasama baik dalam mengitar semula komputer terpakai. Kesedaran seperti itu perlu ditingkatkan,” kata Hafiz. Monitor yang tidak mahu digunakan lagi pula boleh dijadikan diskaun untuk mendapatkan model baru di kedai Apex di Gombak, Shah Alam, Kajang dan Melaka.“Kami menawarkan servis pelupusan, penjualan komputer serta laptop terpakai pada harga rendah dan membeli PC lama dengan harga berpatutan,” katanya yang juga mempunyai kilang pelupusan di Bukit Kemuning, Shah Alam.Baru-baru ini Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menimbang mewujudkan memberi insentif bagi mengatasi masalah sisa buangan elektronik atau e-waste melalui mekanisme yang dirangka. Timbalan Menterinya, Datuk S Sothinathan, berkata soal pemberian insentif dibincangkan pada mesyuarat kementerian tiga bulan lalu bagi mewujudkan kesedaran mengenai pentingnya mengatasi buangan elektronik yang memberi kesan buruk ke atas alam sekitar.Menurutnya, telefon bimbit dan bateri terpakai, peralatan komputer serta bahan lain adalah buangan terjadual yang jika tidak dilupus dengan sempurna boleh mencemarkan alam sekitar, terutama kepada tanah dan sistem air bawah tanah.Pada 2005, Alam Flora Sdn Bhd dengan kerjasama Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom) melaksanakan kempen kitar semula. Hasil sepanjang enam bulan itu menyaksikan sebanyak 1,424 barangan komputer yang terdiri daripada 443 monitor, 378 unit pemerosesan pusat (CPU), 555 pencetak dan 48 aksesori termasuk tetikus, papan kekunci dan cakera keras dikutip oleh 36 pusat kitar semula Alam Flora.Kelebihan kitar semula komputer lama mampu mendatangkan hasil walaupun tidak lumayan, sekurang-kurangnya ia dapat membantu golongan lain lebih memerlukan. Adakah kita mahu planet dan bumi Malaysia tercemar hanya kerana sikap tidak mengambil berat dan tak kisah terus menjadi musuh yang menyebabkan kehancuran diri kita sendiri?