Sunday, August 23, 2009

Perak Sasar Usahawan ICT.

IPOH- KPerak Implementation and Cordination (KPerak), hari ini melancarkan KPerak Academy Technobiz Incubation Program dalam usaha meramaikan usahawan ICT di negeri ini.Majlis pelancarannya telah dirasmikan oleh Exco Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Negeri Dato’ Hamidah Osman
Program yang dijalankan dengan usahasama KPerak dan Aspati Sdn Bhd, sebuah syarikat multimedia bumiputera yang berpengalaman, disertai oleh 15 orang peserta dari seluruh negeri Perak yang mana akan dilatih sebagai usahawan dalam bidang ICT menerusi pendekatan mentor-mentee.
Ketua Pegawai Eksekutif KPerak, Dato’ Yaacob Nordin berkata, program latihan Technobiz ini merupakan serampang dua mata yang direka khas untuk meramaikan usahawan dalam bidang ICT di Perak dan bagi mencapai matlamat memajukan ICT sebagai pemudah cara dalam ekonomi berasaskan pengetahuan (K-ekonomi) seperti yang ditetapkan dibawah Pelan Induk Strategik ICT: KPerak 2010.
Di bawah Pelan Induk Strategik ICT: KPerak 2010, kerajaan negeri menetapkan sasaran menjadikan Perak sebagai destinasi pilihan pelaburan dan perusahaan ICT serta mengubah rakyat dan ekonominya bagi mencapai sasaran menjadikan Perak sebagai sebuah negeri berpengetahuan menjelang 2015.
Para peserta KPerak Academy Technobiz Incubation Program ini akan menjalani latihan selama enam bulan dengan diterapkan enam modul keusahawanan antaranya:
Pembangunan Diri
Kemahiran Teknikal
Kemahiran Perniagaan
Pelancaran Perniagaan
Pemantauan dan Perkembangan
serta Pengijazahan.
Program latihan usahawan ini mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi perlaksana termasuklah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC), dan MIMOS Berhad dalam menyediakan geran permulaan perniagaan serta tunjuk ajar profesional.