Thursday, April 1, 2010

Model Ekonomi Baru tidak utamakan hanya satu kaum

MPEN susun pendekatan bantu usahawan Melayu
Oleh Zainab Mohd Yatim
zmy@bharian.com.my
2010/04/01

KUALA LUMPUR: Model Ekonomi Baru (MEB) masih tidak mengetepikan tanggungjawab untuk meningkatkan dan memulihkan kapasiti usahawan Bumiputera, walaupun secara umum pelaksanaannya tidak memberi keistimewaan kepada satu-satu kaum seperti diamalkan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Tan Sri Amirsham A Aziz, berkata untuk itu, MPEN akan memastikan pendekatan terbaik disediakan bagi menyokong bidang yang mempunyai potensi untuk terus didorong ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.
Katanya, dalam MEB tidak ada kuota mengenai pemilikan, tetapi apa yang kita mahu lihat adalah kapasiti perniagaan Bumiputera akan disokong supaya mereka boleh menjalankan perniagaan dengan lebih baik.
“Sokongan ini akan diberikan seperti penyediaan laluan kepada teknologi dan pembiayaan kerana ini adalah bidang yang perlu terus ditingkatkan dan usahawan hanya meneruskan perniagaan tanpa bimbang mengenai kekurangan yang ada.

“Kerajaan juga tidak akan campur tangan dengan keputusan perniagaan usahawan, sebaliknya akan membantu menyediakan kemudahan bagi memudahakn mereka dapat membuat keputusan perniagaan terbaik,” katanya pada taklimat dengan media di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Sekretariat MPEN, Prof Norma Mansor dan Pengerusi Dewan Perdagangan Amerika-Malaysia (Amcham), Datuk Nicholas Zefferys.
Ditanya mengenai tindakan MPEN tidak mengemukakan cadangan mengenai pelaksanaan gaji minimum, beliau berkata, tidak semestinya majlis itu akan mengemukakan cadangan yang selari dengan cadangan kerajaan.

“Kerajaan perlu memikirkan secara bijak sama ada mahu mengenakan dasar gaji minimum, kerana jika difikirkan dengan teliti, sudah pasti cadangan itu tidak adakan dilaksanakan kerana pendekatan ini boleh membunuh industri.

“Pendekatan kami adalah kadar gaji perlu berasaskan kepada produktiviti,” katanya.

Mengenai langkah seterusnya yang akan dilakukan oleh MPEN untuk menggerakkan cadangan dalam MEB, beliau berkata, pasukan bertindak Aktiviti Utama Ekonomi Nasional (NKEA) akan ditubuhkan dan akan bekerjasama dengan Unit Prestasi Pengurusan dan Penyampaian (Pemandu) untuk mengenalpasti bidang pertumbuhan tinggi.

“Kami akan memastikan sesi rundingan yang menyeluruh sebelum membangunkan rangka kerja atau pelan hala tuju yang terperinci" katanya.

Sementara itu, Norma berkata pelaksanaan MEB yang disasarkan dicapai menjelang 2020 itu, turut mengambil kira tempoh peralihan dan sepanjang tempoh berkenaan, kerajaan akan memastikan mereka yang menerima impak daripada transformasi itu akan dibela dan diberi sokongan.

“Apa perlu dilakukan selepas ini adalah memberi penerangan dan penjelasan sebaik mungkin kepada pelbagai peringkat masyarakat, termasuk pelajar seperti dilaksana kerajaan ketika melaksanakan DEB,” katanya.

Beliau percaya, masyarakat negara ini akan memberi sokongan padu terhadap hasrat kerajaan melaksanakan MEB, dan sokongan akan lebih jitu selepas jentera penerangan kerajaan bergerak untuk memberikan penjelasan.