Sunday, January 18, 2009

Jualan komputer riba meningkat

Jualan komputer riba meningkat

KUALA LUMPUR 6 Jan - Dell Asia Pacific Sdn. Bhd. (Dell Malaysia) menjangka jualan bagi produk komputer riba akan melepasi komputer meja bagi tempoh 18 bulan akan datang.
Pengurus Besarnya, Pang Yee Beng berkata, jangkaan itu berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pengguna dan kadar permintaan yang tinggi daripada komputer riba.
''Ini kerana didorong oleh penurunan harga yang mendadak bagi komputer riba.
''Setakat ini, jualan komputer riba ialah sebanyak 40 peratus manakala bakinya daripada komputer meja," katanya selepas memberi taklimat kepada media mengenai pengkomputeran pada masa depan, di sini hari ini.
Hadir sama, Naib Presiden Asia Pasifik dan Jepun, Pemasaran Komersial Dell, Sam Burd.
Menurut Yee Beng, penggunaan komputer riba lebih produktif dan ia senang dibawa ke mana-mana kerana lebih kecil, ringan dan mesra pengguna.
''Sebelum ini, permintaan bagi komputer riba kurang kerana risiko kecurian yang tinggi tetapi dengan adanya perkhidmatan WiFi dan internet, keperluannya bertambah," ujarnya.
Tambahnya, segmen korporat dan kerajaan masih merupakan penyumbang utama kepada perolehan syarikat.
Beliau berkata, Dell akan mengembangkan perniagaan runcit di Asia berikutan unjuran daripada pertumbuhan
''Kami juga bercadang untuk meluaskan perniagaan korporat di Sabah dan Sarawak kerana melihat potensi di rantau itu.
''Dengan adanya perniagaan korporat di negeri-negeri itu, kami boleh berurusan dengan syarikat-syarikat di sana," jelasnya.
Ditanya mengenai sama ada senario ekonomi yang tidak menentu menjejaskan perniagaan mereka memandangkan Dell telah mengubah haluan menjual produk melalui vendor dan bukan secara langsung kepada pelanggan, Yee Beng berkata, ia tidak memberi impak.
''Kami akan memastikan keberkesanan kos menerusi jualan dan sebarang penjimatan kos akan dialihkan kepada pengguna atau pelanggan," katanya.