Sunday, January 18, 2009

TM sedia pelbagai pakej perkhidmatan

TM sedia pelbagai pakej perkhidmatan

DENGAN segala hormatnya kami merujuk kepada artikel dalam Utusan Malaysia bertarikh 10 Disember 2008 bertajuk TM patut bantu penduduk miskin kuasai IT oleh Anak Penoreh Getah dari Kuala Berang, Terengganu dan pada 15 Disember 2008 bertajuk Sokong TM kaji kadar perkhidmatan Internet oleh Muzammil dari Nebraska, USA mengenai isu kadar langganan perkhidmatan akses Internet jalur lebar Streamyx yang dibekalkan oleh TM.
Pihak Telekom Malaysia Berhad (TM) ingin menjelaskan bahawa TM ada menawarkan pelbagai pelan perkhidmatan Streamyx bagi memenuhi pelbagai keperluan dan kadar kemampuan pengguna.
Antara pelan perkhidmatan yang ditawarkan adalah merangkumi pakej-pakej asas yang menawarkan pakej perkhidmatan Streamyx daripada kelajuan 384Kbps hingga 4.0Mbps dengan kadar serendah RM20 untuk penggunaan selama 10 jam untuk tempoh satu bulan sehingga RM268 untuk langganan pakej penggunaan tanpa had berkelajuan 4.0Mbps.
Bagi pengguna yang mahukan pakej merangkumi perkhidmatan telefon pula, bolehlah memilih untuk melanggan pakej Streamyx Combo yang menggabungkan dua perkhidmatan dalam satu pakej. Pelanggan hanya perlu membayar satu yuran langganan bulanan bagi menikmati perkhidmatan Internet dan talian tetap sekali gus tanpa perlu membayar sewa talian tetap secara berasingan. Ini menjadikannya satu-satunya pakej yang mudah dan mampu dimiliki oleh pelanggan.
Melalui inisiatif ini, kami berharap untuk menjadikan perkhidmatan jalur lebar lebih kos efektif dan mampu dimiliki oleh lebih ramai pengguna. Pelanggan akan memperoleh capaian Internet jalur lebar dengan kelajuan daripada 384Kbps sehingga 4.0Mbps tanpa perlu membayar caj sewa bulanan talian tetap dengan kadar langganan serendah RM60 untuk pakej 384Kbps sehingga RM160 untuk pakej berkelajuan 4.0Mbps.
Pakej ini diperkenalkan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan Internet dengan mengurangkan kos permulaannya supaya lebih ramai pengguna boleh menikmati faedah yang diperoleh melalui gaya hidup digital.
Pelanggan juga mempunyai pilihan untuk menambah Pelan Penggunaan atau Perkhidmatan Tambah Nilai yang lain yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.
Dalam usahanya menggalakkan penerapan akses jalur lebar di negara ini, TM juga telah memperkenalkan pakej Streamyx Kini Mobile yang menawarkan nilai tambahan dengan ciri-ciri mobiliti yang fleksibel menggunakan modem wayarles yang dibekalkan secara PERCUMA oleh TM untuk membolehkan pengguna mengakses Internet jalur lebar wayarles semasa berada di rumah dan mengakses Internet di mana sahaja semasa berada di luar rumah melalui perkhidmatan jalur lebar Internet wayarles (WiFi) yang paling stabil dan terluas di 1,200 lokasi Streamyx Zone di seluruh negara.
Pelanggan Streamyx boleh menikmati semua faedah pakej Streamyx Kini Mobile ini dengan kadar langganan tambahan serendah RM10 sebulan sahaja ke atas langganan pakej Streamyx Combo!
Menarik
Di samping itu, TM juga sentiasa menawarkan pelbagai pakej promosi yang menarik dari semasa ke semasa hasil kerjasama dengan beberapa rakan kongsi perniagaannya bagi menggalakkan lebih ramai pengguna berpeluang untuk melanggani pakej yang mampu dimiliki.
Sebagai contoh, TM telah memperkenalkan beberapa pakej yang digabungkan dengan perkakasan komputer serta kemudahan pelan pembayaran secara kredit untuk para pengguna yang tidak berkemampuan membeli komputer secara tunai.
TM juga telah berkolaborasi dengan pembekal perkakasan komputer dengan memperkenalkan pakej langganan perkhidmatan jalur lebar secara percuma untuk tempoh 24 bulan yang ditawarkan dengan pembelian perkakasan komputer untuk kemudahan pengguna.
Tambahan pula, para pelanggan yang ingin menikmati lebih penjimatan untuk membuat panggilan telefon juga boleh memilih pelan perkhidmatan yang ditawarkan oleh TM iaitu pakej Let's Talk merangkumi pakej Let's Talk 68 dan Let's Talk 108 yang juga turut menawarkan masa berbual percuma untuk para pelanggannya.
Maklumat lanjut mengenai tawaran pakej Streamyx boleh diperoleh melalui laman web Streamyx di www.streamyx.com.my.
TM ingin menegaskan bahawa syarikat sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang mampu dimiliki dan mudah didapati untuk seluruh golongan masyarakat selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan kadar penembusan jalur lebar kepada 50% pada tahun 2010.
KOMUNIKASI KORPORAT KUMPULAN TM