Sunday, August 23, 2009

Perak Sasar Usahawan ICT.

IPOH- KPerak Implementation and Cordination (KPerak), hari ini melancarkan KPerak Academy Technobiz Incubation Program dalam usaha meramaikan usahawan ICT di negeri ini.Majlis pelancarannya telah dirasmikan oleh Exco Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Negeri Dato’ Hamidah Osman
Program yang dijalankan dengan usahasama KPerak dan Aspati Sdn Bhd, sebuah syarikat multimedia bumiputera yang berpengalaman, disertai oleh 15 orang peserta dari seluruh negeri Perak yang mana akan dilatih sebagai usahawan dalam bidang ICT menerusi pendekatan mentor-mentee.
Ketua Pegawai Eksekutif KPerak, Dato’ Yaacob Nordin berkata, program latihan Technobiz ini merupakan serampang dua mata yang direka khas untuk meramaikan usahawan dalam bidang ICT di Perak dan bagi mencapai matlamat memajukan ICT sebagai pemudah cara dalam ekonomi berasaskan pengetahuan (K-ekonomi) seperti yang ditetapkan dibawah Pelan Induk Strategik ICT: KPerak 2010.
Di bawah Pelan Induk Strategik ICT: KPerak 2010, kerajaan negeri menetapkan sasaran menjadikan Perak sebagai destinasi pilihan pelaburan dan perusahaan ICT serta mengubah rakyat dan ekonominya bagi mencapai sasaran menjadikan Perak sebagai sebuah negeri berpengetahuan menjelang 2015.
Para peserta KPerak Academy Technobiz Incubation Program ini akan menjalani latihan selama enam bulan dengan diterapkan enam modul keusahawanan antaranya:
Pembangunan Diri
Kemahiran Teknikal
Kemahiran Perniagaan
Pelancaran Perniagaan
Pemantauan dan Perkembangan
serta Pengijazahan.
Program latihan usahawan ini mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi perlaksana termasuklah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC), dan MIMOS Berhad dalam menyediakan geran permulaan perniagaan serta tunjuk ajar profesional.

Sunday, August 9, 2009

Jangan benarkan internet ditapis

'Jangan benarkan internet ditapis'
Aug 9, 09 11:03am
Internet tidak perlu ditapis dalam apa cara sekalipun, dan salah untuk melakukannya walaupun ada perkara yang perlu dikawal, tegas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad."Sebagai contoh, terlalu banyak keganasan datang melalui internet. Itu, saya rasa, kita ada hak untuk tidak membenarkannya," katanya selepas berucap pada sidang kemuncak pemimpin pelajar Malaysia di Kuala Lumpur semalam.Menurut Bernama, beliau berkata semasa pentadbirannya, apabila kerajaan memulakan Koridor Raya Multimedia (MSC), beliau memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menapis internet."Jadi mungkin ia jaminan yang saya beri ketika zaman saya. Saya tidak tahu sama ada ia akan dipegang oleh kerajaan sekarang," beliau dipetik berkata.Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim kelmarin berkata kerajaan akan mengkaji untuk meletakkan tapisan pada internet bagi menghentikan akses kepada laman web yang tidak dikehendaki.Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagaimanapun berkata kerajaan tidak berhasrat untuk mengawasi dan menapis kandungan internet kerana langkah itu bukan hanya tidak berkesan tetapi juga akan menyebabkan rakyat tidak berpuas hati.

Saturday, July 11, 2009

Hentikan projek Penang Free WiFi - CAP

PULAU PINANG . - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri menghentikan projek Penang Free WiFi kerana dipercayai berpotensi tinggi untuk mengancam kesihatan orang awam.Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, memandangkan projek itu akan menghasilkan kabus WiFi meliputi seluruh negeri, maka tidak ada penduduk di Pulau Pinang yang akan terlepas daripada kesan negatifnya.''Projek ini juga akan menyaksikan peningkatan menara telekomunikasi WiFi sedangkan menara yang sedia ada sudah pun menimbulkan pelbagai masalah kesihatan kepada penduduk berhampiran.''Malah teknologi WiFi akan berfungsi hampir menyamai penggunaan telefon bimbit yang beroperasi di bawah spektrum gelombang antara 900 Mhz dan 2.4Ghz," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.Baru-baru ini, Ketua Menteri, Lim Guan Eng melancarkan Penang Free WiFi bagi memberikan perkhidmatan tanpa wayar percuma kepada penduduk di Pulau Pinang.S.M. Mohamed berkata, pakar genetik biofizik terkenal, Dr. Mae Wan Ho sebelum ini pernah menyatakan bahawa kesan kesihatan akibat gelombang tanpa wayar hampir menyamai dan hampir teruk seperti merokok.''Terdapat bukti yang menunjukkan orang ramai menderita akibat simptom kemurungan apabila terdedah kepada radiasi elektro magnetik dan keadaan itu dikenali sebagai elektro sensitif," katanya.Selain itu, S.M. Mohamed berkata, Pengerusi Program Penyelidikan Kesihatan Telekomunikasi Telefon Bimbit Britain, Profesor Lawrie Challis juga telah memberi amaran bahawa kesan WiFi ke atas kanak-kanak juga perlu dipantau dengan serius.''Tidak seperti merokok, pendedahan kepada gelombang yang menghasilkan radiasi elektromagnet adalah sukar untuk dielakkan sekiranya WiFi meliputi seluruh Pulau Pinang," katanya.S.M. Mohamed turut memberi contoh langkah yang diambil kerajaan tempatan Salzburg, Austria yang telah memberikan amaran kepada pihak sekolah untuk tidak memasang WiFi manakala di Britain pula kebanyakan sekolahnya telah menghentikan talian berkenaan.''WiFi di Universiti LakeHead di Ontorio, Kanada juga telah dialihkan kerana Naib Canselornya mahukan bukti yang kukuh menunjukkan teknologi tersebut selamat," ujarnya.Justeru dalam hal ini, katanya, CAP mencadangkan supaya projek tersebut dihentikan sehingga kerajaan negeri boleh membuktikan perkhidmatan itu selamat digunakan.

Saturday, May 9, 2009

Usahawan ICT cerah

PROGRAM Microsoft BizSpark diwujudkan bagi mengatasi masalah kehilangan pekerjaan dan pengangguran apabila Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menjalin kerjasama dengan Microsoft Malaysia Sdn Bhd.Dijangkakan 13,000 pekerja terpaksa diberhentikan manakala 8,500 pula ditamatkan perkhidmatan melalui skim pemberhentian sukarela (VSS), manakala kadar pengangguran graduan pula dijangka mencecah sehingga 100,000 sehingga akhir tahun ini.
Yang DiPertua DPMM Putrajaya, Datuk Sri Mohamad Alayuddin Che Hasan berkata, usahama yang diwujudkan ini adalah untuk menjayakan program perkongsian pintar bagi meramaikan lagi usahawan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)."Microsoft menyediakan bantuan percuma perisian bernilai RM625,000 termasuk menyediakan platform pelayan Windows."Usaha ini, dapat melengkapkan kemahiran dan kewangan usahawan ICT ke peringkat antarabangsa seterusnya melahirkan usahawan siber yang berintegriti, berkualiti dan kredibiliti. Ia bertepatan demi mengurangkan pengangguran di Malaysia dan meningkatkan usahawan dikalangan Melayu dalam bidang ICT dengan lebih cemerlang," katanya.Menurut Pengarah Urusan Microsoft, Yasmin Mahmood berkata, program yang dijalankan bukan saja menumpukan kepada masalah kewangan malahan untuk mengembangkan rangkaian usahawan ICT agar lebih berdaya saing ketika krisis ekonomi ini."Program selama tiga tahun ini tidak mengenakan sebarang yuran malahan syarikat ICT diberi pembelajaran atas talian secara percuma namun mereka perlu menunjukkan peningkatan dari segi pembangunan dan peralatan."Manakala pembelajaran secara bengkel akan dikenakan bayaran bermula dari RM150 bagi setiap kelas," katanya

Wednesday, May 6, 2009

PETA LOKASI


Wednesday, April 29, 2009

Melayu tak minat IT?

Melayu tak minat IT?
Oleh Suliati Asri suliati@hmetro.com.my

BIDANG teknologi maklumat (IT) bukan hanya untuk mereka yang genius, sebaliknya anda boleh berjaya jika rajin berusaha.
BIDANG teknologi maklumat (IT) bukan hanya untuk mereka yang genius, sebaliknya anda boleh berjaya jika rajin berusaha.Hakikatnya, bidang ini dipelopori bangsa Cina dan India. Di mana kelibat anak-anak Melayu?
Anak Melayu berkebolehan, cuma kurang pendedahan menyebabkan mereka gagal menunjukkan bakat.Kita dapati kebanyakan anak Melayu berkecimpung dalam bidang pengurusan berbanding sains komputer. Mereka menganggap bidang ini sukar dipelajari.Ada juga segelintir pelajar Melayu terlalu mengambil mudah dalam memilih sesuatu jurusan. Mereka hanya memilih bidang yang mudah lulus atau program popular. Sejauh manakah kebenarannya?Persoalan sukar tidak perlu timbul di kalangan pelajar Melayu kerana mereka perlu sedar setiap perkara yang baru dipelajari akan diperkenalkan daripada akar umbi dahulu dan bukannya terus ke puncak.Ini bermakna, bidang sains komputer itu bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dipelajari jika bermula dari peringkat asas.Pakar dalam bidang ini juga perlu mempunyai idea untuk menarik minat masyarakat dalam mendalami bidang ini terutama dalam bidang pengaturcaraan.Mereka perlu didedahkan betapa pentingnya bidang ini untuk bersaing dalam dunia yang semakin maju seiring teknologi global.Masyarakat perlu didedahkan dengan skop kerjaya dalam bidang ini supaya mereka dapat berpandangan lebih jauh.Mereka juga mesti mengambil kira aspek kehendak semasa dan skop kerjaya yang luas dan mampu membantu mengubah corak hidup mereka jika menguasai bidang berkenaan.Kepentingan dan permintaan dalam industri ini yang sangat ketara malah mudah menjadi perhatian majikan, cuma mereka perlu diberi penerangan jelas untuk mendekatkan diri mempelajari bidang pengaturcaraan.Selain itu, ada berpendapat, anak Melayu kurang berkecimpung dalam bidang teknologi maklumat kerana faktor kewangan.Keupayaan memiliki komputer menjadi satu perkara yang amat sukar. Namun, fakta mendapati kebanyakan pengunjung setia pusat siber adalah remaja Melayu.Mereka sanggup membayar untuk tujuan 'chatting' dan permainan interaktif. Ini membuktikan mereka bukanlah golongan naif mengenai teknologi, cuma kurang usaha mempelajari dan mendalami bidang IT.Mereka takut meneroka perkara yang lebih berfaedah sehingga mampu menghasilkan sesuatu yang boleh dibanggakan hingga ke tahap penyelidikan dan penghasilan teknologi itu sendiri. Kita boleh mencontohi India. Walaupun mempunyai populasi penduduk miskin yang ramai, mereka mampu melahirkan ramai pakar IT yang diimport negara maju.Hakikatnya, pelbagai usaha boleh dilakukan bagi melahirkan ramai pengaturcara di kalangan anak Melayu.Penerangan perlu diberi terhadap kepentingan dan kegunaan komputer sebagai alat yang berpotensi dalam semua bidang dan tidak hanya dalam bidang sains komputer sahaja.Masyarakat juga perlu diberi penerangan mengenai pengaturcaraan dan potensinya. Tidak mustahil suatu hari nanti peratus bilangan anak Melayu dalam bidang ini berada pada tahap membanggakan jika masalah ini dipandang serius dan diberi pendedahan meluas.Pengaturcara Institut Generasi, Basok Aizan, berkata pihaknya menyedari hakikat itu dan terpanggil untuk membantu membimbing anak Melayu dalam bidang IT.Malah, Institut Generasi merangka program bersesuaian untuk menarik minat pelajar Melayu mengikuti kursus ditawarkan.Beliau berkata, setakat ini, program yang ditawarkan ialah Pengurusan Sistem Maklumat, ASP.Net, Teknologi Maklumat, Internet Marketing, VB.Net, SQL Database dan Rangkaian Komputer."Kami memberi jaminan kualiti terhadap program yang ditawarkan, malah di pantau NOSS (Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan) iaitu badan yang menyelia kualiti mutu mata pelajaran."Kemudahan makmal kami dilengkapi teknologi terkini iaitu menggunakan 'Prosessor Dual Core' dengan keupayaan hardisk yang tinggi."Ini membolehkan pembelajaran dijalankan dengan lancar," katanya.Menurutnya, antara lain kelebihan di institut itu ialah memberi ilmu kepada pelajar dalam latihan kemahiran yang mirip amalan kerja sebenar."Kami menyediakan jadual waktu kepada pelajar mengikut kesesuaian masing-masing sama ada secara sepenuh masa, separuh masa dan pendidikan jarak jauh (PJJ)."Ini membolehkan pelajar dapat menguruskan jadual tanpa mengganggu aktiviti kerja mereka," katanya.29 apr 09

Tuesday, April 14, 2009

Intel, P1 perluas WiMAX

PENERAJU revolusi jalur lebar WiMAX di Malaysia, Packet One Networks (M) Sdn Bhd (P1) bersama Intel Malaysia bakal memperluaskan jaringan WiMAX menerusi modem USB P1.Pakatan itu terhasil apabila Intel bersetuju mencipta cip WiMAX yang bakal diperluaskan oleh P1 sebagai satu alternatif untuk orang ramai menggunakan jaringan Internet tanpa batasan.
Ketua Pegawai Eksekutif P1, Michael Lai, berkata kerjasama Intel untuk mengeluarkan cip WiMAX turut mempengaruhi permintaan pengguna ke atas perkembangan WiMAX kerana ia mampu digunakan ke atas pelbagai peranti selain komputer peribadi seperti kamera dan pemain muzik digital."Jika dulu telefon bimbit dianggap mahal, kini ia menjadi keperluan yang mesti ada pada setiap individu."Begitu juga dengan jalur lebar yang menjadi keperluan setiap pengguna sebagai capaian ke dunia Internet," katanya.Menurutnya, perkara penting ialah mengembang penggunaan jalur lebar di seluruh negara bagi meningkatkan peratus perkembangan terbabit sebelum 2010 dengan sasaran kadar penembusan 50 peratus.Sementara itu, Pengurus Negara Intel Malaysia, Ryaz Patel, berkata perkembangan jalur lebar tidak akan terhenti walaupun dunia berhadapan krisis ekonomi kerana perkembangan maklumat turut sama meledak dengan wujudnya Internet.Dalam perkembangan yang sama, P1 mengumumkan harga terbaru pakej WiMAX yang ditawarkan untuk pengguna di rumah serendah RM49 sebulan hingga RM199 dan RM159 hingga RM339 (perniagaan). Kemudahan tambahan turut disediakan kepada pengguna untuk menguruskan data peribadi menerusi sistem layan diri atas talian yang boleh diakses di http://myaccount.p1.com.my.

Thursday, March 12, 2009

Monday, February 23, 2009

Tiada Kesedaran Punca Lambakan Komputer Lama

MEMANG menjadi sifat manusia, sentiasa inginkan barang baru untuk dilengkapkan tidak ketinggalan produk berasaskan komputer apalagi ia berubah mengikut perkembangan semasa dan gaya dunia. Apabila bercakap mengenai komputer, tidak ramai individu yang menghiraukan komponennya termasuk monitor dan unit pemprosesan pusat (CPU) apabila ia menjangkau usia tertentu menyebabkannya terus dibuang jika diganti dengan produk baru.Sebaik memiliki model baru, pengguna hanya mencampakkan komputer lama ke dalam tong sampah depan rumah atau mengumpulkannya dalam ruang simpanan barang tanpa memikirkan berpuluh-puluh komponen yang boleh dikitar semula. Kebanyakan rakyat Malaysia menukar komputer tiga hingga lima tahun. Jika terdapat satu komputer dalam satu keluarga seramai lima orang, jumlahnya ialah 5.4 juta! Bayangkan jumlah itu dilonggok begitu saja di tempat pembuangan sampah? ia pasti merugikan apatah lagi masih terdapat komponen yang boleh dikeluarkan untuk digunakan sebaik mungkin. Tambahan pula, pencemaran alam sekitar pasti berlaku kerana terdapat bahan toksik terkandung dalam komputer boleh meresap ke tanah sehingga mengganggu punca air yang diminum setiap hari jika tidak dikawal.Tiub aliran katod dalam monitor memiliki toksid mengandungi plumbum, raksa dan kadmium (logam seperti timah yang lembut dan berwarna perak). Di California, tiub diisytiharkan sebagai bahan berbahaya yang menjadikan pembuangannya menjadi lebih sukar kerana ia kini tidak lagi dibenarkan ditanam.Sikap malas menjadi punca utama mengapa komputer tidak dikitar semula apatah lagi ganjaran yang terhasil apabila menukarkan komputer lama tidak menguntungkan. Mentaliti seperti ini harus dikikis memandangkan sikap sebegini menyumbang sebahagian pembaziran bahan mentah yang menimbun setiap hari di pusat pelupusan sampah. Jika diperhati dengan teliti, bahan terkandung pasti menghasilkan banyak barangan terpakai atau baru yang mempunyai nilai sekurang-kurangnya mengurangkan pencemaran alam berleluasa kini. Contoh komponen yang boleh dikitar semula:* Plumbum pada tiub sinar katod dan pateri* Arsenik pada tiub sinar katod lama* Selenium pada papan litar sebagai pembekal tenaga* Perencat nyala polibrominan pada selongsong plastik, kabel dan papan litar* Stibium trioksida* Cadmium pada papan litar dan semikonduktor* Kromium pada keluli sebagai pencegah hakisan* Kobalt pada keluli bagi struktur dan kemagnetan dan raksa pada suis serta pembalutBahan seperti ini akan terbuang begitu saja malah mencemarkan alam sekitar dengan prosesnya menghasilkan sisa toksik berbahaya kepada nyawa manusia. Sesungguhnya bahan berbahaya daripada pembuangan komputer berlaku melalui penyerapan logam berat ke dalam air bawah tanah dan pengeluaran asap yang beracun ke udara.Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sejumlah 50 juta tan bahan komponen komputer dibuang setiap tahun. Ia satu jumlah yang menakutkan apatah lagi pencemaran mampu menyebabkan pelbagai penyakit seperti kanser jika tidak ditangani dengan bijak oleh manusia. Kajian juga menunjukkan sejumlah 300 juta PC bakal bertaburan menjadi bahan buangan menjelang 2010 akibat kekurangan ruang untuk melupuskan bahan pepejal itu. Usaha dilakukan bukan tertumpu kepada individu saja, organisasi besar harus mengambil langkah proaktif mengitar semula komputer pada kuantiti banyak.Enam tahun lalu, Hewlett Packard (HP) sendiri melaksanakan program kitar semula membabitkan produk PC dan elektronik lain yang mengandungi bahan kimia toksid di kilangnya, Roseville. Program kitar semula HP satu daripada usaha untuk mengatasi berjuta produk elektronik yang tersimpan di gudang atau stor disebabkan tidak dapat dibuang begitu saja tanpa mengikut prosedur ditetapkan.HP akan mengenal pasti PC yang masih boleh dipakai dan kemudian dibaiki untuk dijual semula manakala PC tidak boleh dibaiki akan diambil alat gantinya sebelum ia dimusnahkan sepenuhnya.Besi pada PC akan dihancurkan dan plastik dikecil termasuk debunya sekali akan dileburkan untuk menjadi tenaga. Setiap komponen PC akan dihantar ke bahagian yang dapat diguna semula bagi memastikan tiada yang akan ditanam.Sementara itu, syarikat swasta juga tidak ketinggalan mewujudkan peluang kepada orang ramai untuk mengitar semula PC atau laptop mereka bagi diguna pakai golongan yang inginkan harga murah. Antara syarikat bertanggungjawab mengitar semula PC dan komputer terpakai termasuk Apex Computer Services Sdn Bhd yang beroperasi sejak 2004. Pengarah Urusannya, Hafiz Hashemi Johaini, berkata syarikatnya mempunyai tanggungjawab sosial yang perlu dilakukan agar kempen kitar semula berjaya selain menyelamatkan alam sekitar daripada tercemar. “Produk komputer tidak seharusnya dibuang begitu saja, ia mampu diguna pakai untuk kegunaan orang yang memerlukan seperti golongan yang berpendapatan rendah,” katanya.Menurutnya, golongan seperti pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan ibu bapa yang kurang mampu membelikan PC untuk anak mereka boleh manfaat hasil daripada barangan yang dianggap tidak berguna itu. “Tak perlu buang. Apa salahnya jual saja untuk dikitar semula bagi manfaat lain, malah kita mampu mendapat hasil daripada komputer terpakai,” katanya.“Perniagaan saya dapat membantu usaha kerajaan menerusi program kitar semula. Daripada komputer lama dan rosak dibuang dan dilupuskan begitu saja, lebih baik dijual. Kami akan baiki dan jual semula dengan harga murah,” katanya.Katanya, komputer terpakai akan dibaik pulih dan jika ada komponen yang tidak boleh digunakan lagi akan dikitar semula untuk menjadi bahan berguna lain. Tambahnya, pihak swasta seperti sektor perbankan contoh terbaik organisasi yang melupuskan komputer lama secara sistematik. “Mereka (pihak bank) memberikan kerjasama baik dalam mengitar semula komputer terpakai. Kesedaran seperti itu perlu ditingkatkan,” kata Hafiz. Monitor yang tidak mahu digunakan lagi pula boleh dijadikan diskaun untuk mendapatkan model baru di kedai Apex di Gombak, Shah Alam, Kajang dan Melaka.“Kami menawarkan servis pelupusan, penjualan komputer serta laptop terpakai pada harga rendah dan membeli PC lama dengan harga berpatutan,” katanya yang juga mempunyai kilang pelupusan di Bukit Kemuning, Shah Alam.Baru-baru ini Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menimbang mewujudkan memberi insentif bagi mengatasi masalah sisa buangan elektronik atau e-waste melalui mekanisme yang dirangka. Timbalan Menterinya, Datuk S Sothinathan, berkata soal pemberian insentif dibincangkan pada mesyuarat kementerian tiga bulan lalu bagi mewujudkan kesedaran mengenai pentingnya mengatasi buangan elektronik yang memberi kesan buruk ke atas alam sekitar.Menurutnya, telefon bimbit dan bateri terpakai, peralatan komputer serta bahan lain adalah buangan terjadual yang jika tidak dilupus dengan sempurna boleh mencemarkan alam sekitar, terutama kepada tanah dan sistem air bawah tanah.Pada 2005, Alam Flora Sdn Bhd dengan kerjasama Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom) melaksanakan kempen kitar semula. Hasil sepanjang enam bulan itu menyaksikan sebanyak 1,424 barangan komputer yang terdiri daripada 443 monitor, 378 unit pemerosesan pusat (CPU), 555 pencetak dan 48 aksesori termasuk tetikus, papan kekunci dan cakera keras dikutip oleh 36 pusat kitar semula Alam Flora.Kelebihan kitar semula komputer lama mampu mendatangkan hasil walaupun tidak lumayan, sekurang-kurangnya ia dapat membantu golongan lain lebih memerlukan. Adakah kita mahu planet dan bumi Malaysia tercemar hanya kerana sikap tidak mengambil berat dan tak kisah terus menjadi musuh yang menyebabkan kehancuran diri kita sendiri?

Sunday, February 1, 2009

Bila komputer riba ganti buku teks.

Pada 12 Januari lalu, Bernama Online melaporkan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom sebagai berkata Kementerian Pelajaran akan mengkaji terlebih dahulu keberkesanan pelaksanaan program e-Buku (e-Book) yang dilancarkan di Terengganu, pada hari berkenaan, sebelum diperluas dalam sistem pendidikan negara. Mengikut laporan itu, Terengganu menjadi negeri perintis program e-Buku yang menyediakan komputer riba kepada pelajar bagi menggantikan buku sekolah.Ada beberapa fakta dalam laporan berita itu yang menarik perhatian saya:



1. Datuk Alimuddin berkata, projek itu satu perkembangan baik untuk kemajuan pendidikan yang bakal melonjakkan lagi pencapaian Terengganu dalam bidang pendidikan. Maknanya, dengan penggunaan e-Buku, pencapaian pendidikan di Terengganu akan melonjak.

2. Bagaimanapun beliau difahamkan ia agak mahal. Jadi, Kementerian Pelajaran akan melihat dahulu bagus atau tidaknya penggunaan e-Buku ini. Jika bagus, kata Datuk Alimuddin, kementerian akan mempertimbangkan penggunaannya untuk masa depan.

3. Datuk Alimuddin juga berkata, keberkesanan projek itu hanya dapat dilihat dalam tempoh dua tiga bulan sebaik ia mula digunakan oleh murid darjah lima di Terengganu Mei ini. Maknanya, dalam tempoh dua tiga bulan saja sudah dapat dilihat lonjakan hasil penggunaan projek itu.

4. Kementerian juga, kata Datuk Alimuddin, turut melihat projek e-Buku sebagai alternatif bagi mengatasi masalah beg sekolah berat yang dihadapi murid-murid.

5. Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, pula berkata kilang pemasangan komputer riba itu yang bernilai RM8.5 juta di kawasan Perindustrian Gong Badak dekat sini dijangka siap Mac ini. Bagaimanapun laporan itu tidak menyebutkan kilang itu milik dan diusahakan oleh siapa.

6. Beliau juga berkata, seramai 23,000 hingga 25,000 murid tahun lima akan mula menerima komputer mulai Mei secara berperingkat-peringkat sebelum diperluaskan kepada murid darjah enam, empat, tiga, dua dan satu. Pelajar sekolah menengah di negeri itu diberitahu akan menerimanya pada fasa kedua.

7. Datuk Ahmad juga berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM30 juta setahun bagi projek itu. "Setiap komputer yang dibekalkan berharga kira-kira RM1,300 dan kita akan pastikan setiap murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah menerima e-Buku sebelum mengedarkannya ke negeri lain," katanya. Datuk Ahmad berkata beberapa buah negeri telah menunjukkan minat untuk melaksanakan e-Buku dan membeli komputer dari Terengganu.Saya percaya ramai ibu bapa tidak menentang penggunaan e-buku, komputer peribadi (PC) ataupun komputer riba di sekolah sama ada untuk tujuan pengurusan mahupun pengajaran dan pembelajaran. Malah kita mengalu-alukan penubuhan makmal komputer di sekolah untuk mengajar anak-anak kita menggunakan alat dan teknologi berkenaan. Ia sesuai dengan kata-kata Saidina Umar supaya kita mengajar anak-anak kita sesuai dengan zaman mereka.Bagaimanapun, apabila komputer riba hendak diberikan kepada setiap pelajar bagi menggantikan buku sekolah, saya ada sedikit 'reservation'.

Ada beberapa persoalan yang bermain dalam fikiran saya:

1. Benarkah penggunaan komputer riba atau dalam konteks lebih luas, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), boleh membantu melonjakkan pencapaian pelajar? Maknanya, pelajar yang tidak pernah mendapat Gred A sebelum ini, tetapi dengan penggunaan ICT, boleh mendapat Gred A bagi semua subjek atau jika tidak pun, banyaklah subjek yang mendapat Gred A. Adakah begitu?Seorang bekas pegawai tinggi di Kementerian Pelajaran pernah berkata kepada saya bahawa penggunaan ICT memang terbukti berjaya meningkatkan kecekapan pengurusan seperti dalam pembayaran gaji kerana kerja yang selama ini dibuat oleh lima enam orang, dengan kemudahan ICT, boleh dikendalikan oleh seorang saja. Tetapi, katanya, belum ada kajian menunjukkan penggunaan ICT boleh meningkatkan atau melonjakkan pencapaian akademik pelajar. Maknanya, belum ada testimoni menunjukkan dengan penggunaan komputer atau ICT, pelajar tercorot melonjak pencapaiannya!

2. Komputer riba itu dilaporkan berharga kira-kira RM1,300 sebuah. Dengan peruntukan RM30 juta setahun, bermakna seramai 23,077 pelajar di Terengganu akan menerima komputer riba setiap tahun. Terengganu mungkin tidak menghadapi masalah menyediakan peruntukan itu kerana ada banyak duit, terutama royalti minyak. Tetapi bagaimana negeri lain yang dikatakan berminat untuk mengikut jejak Terengganu itu? Jika Kementerian Pelajaran hendak meniru projek itu, kita perlu ingat ketika ini kita ada kira-kira lima juta pelajar di seluruh negara. Maknanya, kita memerlukan RM8.5 bilion untuk tujuan itu saja. Atau kita mulakan dengan murid tahun satu saja. Jika setiap tahun 420,000 murid masuk tahun satu (ambil statistik tahun ini), kementerian perlukan RM546 juta setahun itu. (Tahun ini kementerian itu dilaporkan membelanjakan RM180 juta untuk Skim Pinjaman Buku Teks).

3. Jika komputer riba yang diberikan kepada pelajar itu rosak, siapa akan menanggung kos penyengaraannya? Kerajaan negeri, Kementerian Pelajaran atau pelajar dan ibu bapa sendiri? Laporan Bernama tidak menyatakan sama ada peruntukan RM30 juta setahun yang disediakan Kerajaan Terengganu itu meliputi kos penyenggaraan. Jika kementerian laksanakan program itu, sanggupkah kementerian memikulnya? Kita ada 5 juta pelajar!Saya ragu-ragu jika ibu bapa pelajar sendiri yang perlu menanggungnya. Mungkin ramai yang tidak kisah kerana komputer riba pun dah percuma. Cuma kita lihat, dalam keadaan sekarang, walaupun buku teks percuma diberikan kepada semua pelajar, yuran khas RM4.50 seorang (di sekolah) dan RM9.50 seorang (di sekolah) dah dimansuhkan, nak bayar yuran tambahan sebanyak RM20, RM30 atau RM50 setahun bagi satu keluarga kepada PIBG pun ada riuh rendah satu negara. Ada pengetua kata, termasuk yang buat riuh rendah tu, pegawai pendidikan sendiri! Jadi, bagaimanalah agaknya jika ibu bapa macam tu kena keluarkan duit kocek sendiri untuk penyenggaraan komputer riba itu?

4. Benarkah keberkesanan projek itu dapat dilihat dalam tempoh dua tiga bulan? Keberkesanan dari segi apa? Dari segi kemahiran pelajar menggunakan komputer riba itu sewaktu pembelajaran atau dari segi lonjakan pencapaian pelajar dalam pelajaran? Kalau yang pertama mungkin, tetapi yang kedua, saya tak pasti!Saya dapati kita di Malaysia terkenal dengan projek perintis yang pantas ini. KBSR misalnya, dicuba setahun, kemudian tahun berikutnya, terus dilaksanakan di seluruh negara. Begitu juga apabila subjek Sains diperkenalkan semula di sekolah rendah menggantikan Alam dan Manusia, selepas setahun dibuat projek rintis di beberapa sekolah, tahun berikutnya terus dilaksanakan di seluruh negara. PPSMI (pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris) lagi hebat, tanpa sebarang projek perintis, terus dilaksanakan di seluruh negara.

5. Bolehkah ia menyelesaikan masalah beg berat? Rupa-rupanya isu ini masih belum selesai sejak ia hangat diperkatakan dan dilaporkan dalam media massa pada zaman Tan Sri Sulaiman Daud menjadi menteri pendidikan kali kedua. Isu yang sama juga timbul zaman Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Musa Mohamed memegang portfolio yang sama. Ya, mungkin menggantikan buku teks tetapi untuk atasi masalah beg berat, saya rasa bergantung kepada berapa berat komputer riba yang nak dipikul oleh pelajar nanti, terutama murid tahun satu! Saya bimbang masalah beg berat tak selesai, timbul masalah lain pula. Maklumlah, alat elektronik – sensitif. Silap pikul, jatuh beg atas jalan, dibuatnya tak boleh berfungsi, dah timbul masalah lain pula. Nak baiki, siapa nak tanggung kosnya? Atau boleh dapat ganti yang baru? Sekarang, jika buku teks rosak atau hilang, ibu bapa kena bayar. Jika komputer komputer riba tu rosak atau hilang, macam mana?

6. Benarkah program e-Buku ini untuk melonjakkan kecemerlangan akademik dan mengatasi masalah beg berat, atau ada agenda lain? Sekarang ini pun ada banyak makmal komputer yang dibina dan dibuka di sekolah yang tak dapat berfungsi dan dimanfaatkan sepenuhnya. Begitu juga dengan komputer peribadi dan LCD projector yang dibekalkan kepada guru, berapa ramai yang menggunakannya sewaktu pengajaran? Bagaimana pula dengan LCD projector yang dipasang dalam kelas, tak memadaikah untuk pengajaran?Saya rasa soal lonjakan pendidikan, tidak ada kaitan dengan penggunaan buku teks atau tidak. Yang pentingnya bagaimana kita mendorong anak-anak kita tekun belajar. Adakah ibu bapa sendiri jelas tujuan mereka menghantar anak-anak ke sekolah? Dan adakah mereka juga memastikan anak-anak mereka jelas tujuan itu? Adakah sekolah dan guru-guru menjadi faktor yang berjaya menarik pelajar untuk datang ke sekolah setiap hari dan pendorong untuk pelajar tekun belajar?